Report Abuse

ROYAL FLORIA PUTRAJAYA 2023 : Di Sebalik Tabir Surya

Floria Putrajaya bakal tiba lagi...

Okay. Kali ini 'entry' saya adalah tentang cerita di sebalik tabir Royal Floria Putrajaya 2023 yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 30 Mei 2023 dan berakhir pada 7 Jun 2023. Lokasi penganjurannya adalah di tapak kekal Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

Saya dan 'team' rekabentuk saya telah berpeluang melaksanakan kerja-kerja rekabentuk bagi beberapa komponen dan taman-taman utama Floria pada tahun ini. Kini, kerja-kerja pembinaan sedang rancak berjalan di tapak.

Taman-taman utama yang telah kami rekabentuk adalah:

1. The Pinwheel Garden
2. The Royal Garden
3. The Spa Garden
4. The Meadow
5. Galleria D'Floria
6. 'Main Entry Statement'


***    THE PINWHEEL GARDEN    ***
"Spills of Wonders” (Limpahan Keajaiban) adalah konsep yang diterapkan ke dalam rekabentuk The Pinwheel Garden.
Elemen utama bagi merealisasikan limpahan keajaiban tersebut adalah dengan penggunaan 3000 unit roda-roda pin berwarna-warni, berbentuk seperti kelopak bunga yang disusun dalam pola warna pelangi serta kelihatan seakan-akan ‘melimpah’ dari menara jam ke kawasan rumput sekitarnya.
Apabila angin memutarkan roda-roda pin ini secara serentak, impaknya pasti memukau pandangan pengunjung. Suasana keajaiban ini dikelilingi pula oleh beberapa pohon sedia ada dan diserikan lagi dengan warna-warna dari tanaman berbunga semusim.
Illustrasi rekabentuk

Peringkat kerja-kerja pembinaan:

Siap..!






***    THE ROYAL GARDEN    ***


Illustrasi rekabentuk pelan landskap

Taman DiRaja Negeri Sembilan ini direkabentuk untuk menggabungkan ciri-ciri utama bandar DiRaja Seri Menanti. Konsep taman ini adalah untuk mencontohi binaan-binaan utama yang membawa peranan tertentu di dalam majlis adat istiadat DiRaja.

Sebuah pintu gerbang berbentuk seperti tanduk mengalu-alukan kehadiran pengunjung; sepertimana di tapak asal Istana Seri Menanti.


Gerbang berbentuk 'Tanduk'

Pengunjung kemudian disambut dengan elemen pancuran air yang menempatkan lambang DiRaja Negeri Sembilan.
Elemen Air dengan lambang DiRaja Negeri Sembilan

Susunatur elemen-elemen ini adalah mengikut kedudukan yang berpaksikan Istana Seri Menanti atau kini dikenali sebagai Muzium DiRaja Seri Menanti.
Di bahagian belakang binaan istana ini terdapat ‘bukit-bukit’ kecil yang melambangkan empat gunung utama di Negeri Sembilan.


'Bukit-bukit' kecil yang melambangkan 4 gunung utama di Negeri Sembilan

Takhta Rencana (The Royal Carriage)
Takhta Rencana
Takhta Rencana merupakan sejenis kenderaan yang digunakan dalam majlis adat istiadat DiRaja seperti pertabalan DYMM Yang di-Petuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Mengadap dan adat istiadat perkahwinan DiRaja Negeri Sembilan. Takhta Rencana akan ditarik oleh pegawai 99 istana dari istana besar hingga ke Panca Persada bagi tujuan Istiadat Siram Tabal.

Panca Persada (Balai Bersiram)
Panca Persada
Panca Persada merupakan komponen penting di Istana Seri Menanti. Ia merupakan platform tinggi bertingkat / bertangga, berbumbung dan disediakan dengan tempat duduk DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ia dibina di perkarangan Istana Seri Menanti dengan posisi menghadap ke arah kiblat. Panca Persada digunakan semasa Istiadat Bersiram Tabal.
Pemilihan tumbuhan tempatan yang digabungkan dengan pokok renek berwarna-warni diterapkan di dalam rekabentuk landskap kawasan taman ini.


Peringkat kerja-kerja pembinaan di tapak..


***    THE SPA GARDEN    ***


Illustrasi rekabentuk pelan landskap

The Spa Garden adalah berkonsepkan “The Hanging Gardens of Babylon” Ia diinspirasikan daripada rekabentuk taman terkenal di bandar purba Babylon pada zaman lampau.

Latar belakang taman ini berunsurkan kisah romantis antara Raja Neo-Babylonian dan isterinya. Taman tersebut dikatakan direkabentuk khas untuk isterinya yang merindui kampung halaman.



Apabila masuk ke dalam kawasan taman, pengunjung akan merasai pengalaman yang berbeza apabila melalui aras-aras yang berlainan yang diwujudkan di dalam taman ini.
Pelbagai tumbuhan dan tanaman renek berwarna-warni menjadi penyeri taman. Dengan kehadiran elemen spa dan jakuzi serta dikelilingi dengan kolam air refleksologi, tentunya wujud suasana taman yang tenteram serta romantik.





Peringkat kerja-kerja pembinaan..




***    THE MEADOW    ***


Illustrasi rekabentuk
 
Taman ini direkabentuk berdasarkan konsep “Oasis”. “Oasis” dikenali sebagai sebuah danau alam yang menjadi tumpuan disebabkan oleh kesuburannya dan biasanya mengelilingi suatu mata air. Kedudukan taman ini di atas paksi utama laluan masuk ke kawasan taman-taman di Anjung Floria menjadi tarikan dan mempengaruhi pengunjung untuk terus meneroka kawasan-kawasan taman yang lain.


Suasana “The Meadow Garden” ini dihidupkan dengan elemen air terjun yang turun dari struktur pintu gerbang dan diserikan pula dengan tanaman berbunga pelbagai warna.

Peringkat kerja-kerja pembinaan..


***    GALLERIA D’FLORIA    ***


Illustrasi rekabentuk



Taman ini mengambil pendekatan ‘European Garden’, dengan konsep Galleria d’Floria’. Struktur asal taman DBKL pada acara Floria tahun 2023 yang masih kekal di persisiran tasik di Anjung Floria digunakan kembali pada kali ini.

Struktur tersebut dibaikpulih dan diceriakan dengan komponen-komponen seperti ‘baluster’, gantungan spesis Petunia hybrida yang berwarna-warni serta pokok-pokok topiari sebagai penyeri.
Pengunjung akan dibawa mengimbas kembali memori Floria dari tahun pertama (2023) sehingga kemuncaknya pada tahun 2023 apabila menyusuri laluan siarkaki yang dipenuhi dengan bunga-bunga tema Floria mengikut tahun penganjurannya.
Kerja-kerja menaiktaraf landskap di sekitar struktur sedia ada...



***    ‘MAIN ENTRY STATEMENT’    ***

Illustrasi rekabentuk





Laluan masuk utama FLORIA dipayungi lelangit hiasan yang membawa konsep “Anyaman Tujuh Warna”. Kain yang terdiri daripada tujuh warna utama dianyam seperti ketupat dan dihiasi dengan ‘twister’ berwarna-warni di celah-celahnya untuk memberi suasana mengundang dan ceria.


Di bawah cahaya matahari, anyaman tersebut menghasilkan bayang-bayang yang menarik pada lantai laluan masuk tersebut.

Peringkat kerja-kerja pemasangan..

Sehingga 'entry' ini ditulis, kerja-kerja akhir pembinaan masih giat dilaksanakan di tapak dan hanya berbaki empat hari sahaja lagi sebelum perasmiannya. Jadi, jika anda ingin tahu bagaimana rupa taman-taman yang telah siap dengan sempurna...silalah berkunjung ke Royal Floria Putrajaya 2023.

Terdapat banyak lagi taman-taman Floria termasuk 'indoor gardens' yang akan dibuka untuk kunjungan ramai.

Mereka menanti anda di sana..! :)


Related Posts

Post a Comment