Report Abuse

Lalang : 'Spesis Penakluk' dari Persepsi Human Being


Lalang.....Apakah reaksi anda terhadap tumbuhan ini?

Tidak ramai yang mahu membicarakan tentang spesis tumbuhan ini kerana kurang senang dengan kehadirannya di persekitaran; ciri-cirinya yang tidak menarik, menjadi perosak tanaman lain serta sangat sukar untuk dimusnahkan walaupun dibakar berkali-kali !

Nama saintifik bagi Lalang adalah Imperata cylindrica. Ia juga dikenali sebagai Alang-Alang / Speargrass / Cogongrass. LaIang merupakan tumbuhanoportunis, agresif dan pantas menaklukiapa sahaja habitat yang tidak ditanam termasuk kawasan hutan, padang rumput, kebun, dan kawasan tinggalan manusia.

Ia mampu tumbuh sehingga ketinggian kira-kira 1.8 meter dan mempunyai ciri-ciri daun yang runcing serta bilah daun yang berbulu di tepinya. Lalang juga mengeluarkan bunga yang berbentuk panjang, berwarna putih serta gebu seakan-akan kapas. Ia tumbuh secara berumpun serta memiliki sistem akar (rizom) yang mampu merebak dengan cepat dan menembusi jauh ke dalam tanah.
 

Perumpamaan ini sering disebut: “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin."

Di sebalik rupa serta ciri-ciri yang tidak disenangi manusia, lalang juga sebenarnya memiliki pelbagai kegunaan dan manfaatnya tersendiri.

Di Asia Tenggara, tumbuhan ini digunakan dalam pembuatan atap rumah-rumah tradisional dan tikar jerami. Ia juga memiliki ciri-ciri perubatan tradisional, menjadi makanan ragut haiwan serta mampu menstabil, meneutral dan mengawal hakisan tanah. Lalang berdaun merah pula dijadikan sebagai tanaman hiasan.
Gazebo beratapkan lalang
 
Sebuah kajian oleh salah seorang ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia berkaitan potensi yang dimiliki oleh lalang menarik perhatian saya. Lalang sebenarnya boleh ditukarkan kepada tenaga untuk menghasilkan bahan bakar !

Selain daripada itu, bahan-bahan mesra alam juga telah berjaya dihasilkan daripada daun lalang seperti kertas dan beg semaian pokok (biologi yang mudah terurai dalam tanah).

Pernahkah anda lihat lalang berdaun merah? Kini ia semakin banyak ditanam di laman-laman kediaman mahupun sebagai daya tarikan landskap di sekitar taman-taman awam, bangunan atau institusi. Spesis lalang ini digelar “Red Baron’ kerana ia berdaun merah.
Imperata cylindrical 'Rubra' - 'Red Baron'
Gambar ehsan : www.kelownagardens.com

Lalang yang sedang berbunga menghasilkan visual yang cukup menarik. Perhatikan sebuah kawasan lapang atau cerun yang dipenuhi rumpun lalang yang sedang berbunga. Ia menghasilkan pemandangan yang indah dan unik sehingga menarik perhatian banyak syarikat dan agensi produksi, fotografi dan sebagainya membuat penggambaran dengan latarbelakang yang dramatik ini.
 
Pengalaman saya mendaki Bukit Lalang (atau lebih dikenali sebagai Bukit Broga) di Semenyih, Selangor baru-baru ini memberi kesempatan untuk saya menyaksikan sendiri kawasan bukit yang dihuni oleh spesis penakluk ini. Lalang tumbuh melata dan mendominasi sebahagian besar kawasan bukit tersebut dan kerana fenomena inilah Bukit Lalang mendapat namanya.
Lalang tumbuh meliputi sebahagian besar kawasan bukit
 
Pemandangan bukit yang dilatari tumbuhan ini sangat mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya. Ini sekaligus melenyapkan persepsi negatif saya terhadap lalang !
 
Pemandangan dari atas Bukit Lalang / Bukit Broga
Petikan dari ayat Al-Quran yang bermaksud : “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan segala sesuatu di muka bumi dalam keadaan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (Quran, Surah Ali-Imran, 3:191)
 
Renungi kejadian alam, tiada satu pun yang diciptakan Allah dalam keadaan sia-sia melainkan semuanya mengandungi hikmahnya tersendiri.
 
Dari perspektif lain, hayati perumpamaan ini: “Contohilah lalang, makin lama semakin tinggi, akarnya mencengkam bumi." Lalang menjadi simbol jati diri manusia yang tidak mudah berputus asa atau patah semangat walau berhadapan dengan apa jua situasi mencabar.
Jadi…tidakkah Lalang si penakluk juga mampu menawarkan manfaatnya kepada manusia? :)

 

Related Posts

Post a Comment